Tuesday, February 26, 2008

perjalanan umat

(tazkirah DMTK)

Dikisahkan dalam satu perjalanan pada musim haji tahun 50 an. Sebuah bas yang sarat dengan penumpang merentasi padang pasir, menuju ke bandar Mekah Mukarramah. Keadaan jalan bukan lah macam sekarang. Masa tu mana ada jalan tar. Jalan atas pasir aja. Sesekali bas berhayun kuat, ke kiri dan ke kanan, mengelak timbunan pasir yang tebal.

Cuaca sangat panas. Penumpang-penumpang bas dengan hal masing-masing. Ada yang tidur, ada yang berbual-bual dan tak kurang yang mengelamun sendiri. Masing-masing bertekad untuk berjaya mendapat haji mabrur tahun ni.

Tiba-tiba bas berhenti mengejut. Enjin berbunyi, tapi bas tak bergerak. Bunyi enjin semakin dideram kuat, tapi bas masih tak bergerak. Semua penumpang terkejut. Yang tadinya tidur pun sekarang dah terjaga. Masing-masing bercakap sesama sendiri,

“Kenapa ni, apa dah jadi?”

“Kenapa bas tak dapat jalan?”

“Aiseyman, tayar bas sangkut kat pasir la. Tak boleh jalan. Nak kena tolak ramai-ramai ni.” Kata drebar bas yang tadinya diam.

“Kena tolak?”

“Ya la, kena tolak. Kalau tak, macam mana kita nak sampai.”

Maka turunlah sebahagian penumpang bas dengan semangat yang berkobar-kobar, menyinsing lengan dan memerah segala kederat yang ada, menolak bas.

“Satu, dua, tiga, tolak…”

Ada segelintir penumpang pulak yang turun tapi tak sama-sama menolak bas. Cuma suara mereka lebih kuat dari yang menolak bas. Dari muka mereka memang nampak mereka bersemangat tapi tangan mereka sikit pun tak sentuh dinding bas.

“Tolak lagi bang, tolak lagi. Tolak kuat sikit. Tu yang belah kiri tu, macam tak makan aje!”

Ada sekumpulan penumpang bas lagi. Mereka tak mahu turun dari bas. Muka poyo. Rilek je, macam tak ada apa-apa berlaku.

“Aku bayar tambang ni, bukan kerjanya nak menolak bas.”

Cerita tamat.

Moral dari cerita di atas.

Itulah keaadaan umat Islam sekarang. Dalam satu perjalanan menuju ke akhirat. Macam-macam amal umat telah buat. Cita-cita tetap nak berjaya. Bila masalah datang pada umat Islam macam sekarang, keadaannya sama macam penumpang-penumpang bas tadi.

Ada yang bersungguh-sungguh, korban diri dan harta untuk menegakkan Islam.

Ada yang jadi ‘pom-pom’ aja.

Tak kurang yang kata, “Aku dah solat, zakat, puasa, haji. Yang lain tu bukan kerja aku”.

Kita???

kena ingat, satu-satu benda yang terjadi kat dunia ni, Allah lah yang menciptakannya. Allah juga cipta asbab-asbab untuk uji iman manusia. Contoh :

- Asbab kahwin dapat anak
- Asbab kerja dapat rezeki
- Asbab makan dapat kenyang dan lain-lain lagi.

Tapi kadang-kadang Allah buat sesuatu berlawanan dengan asbab untuk menunjukkan kehebatanNya. Contoh :

- Nabi Ibrahim dicampak oleh Namrud dalam api tapi tak terbakar.
- Nabi Musa campak tongkat jadi ular yang besar.
- Nabi Isa lahir hanya ada ibu, tanpa bapa dan banyak lagi contoh dalam quran serta kisah orang terdahulu.

TAPI SATU ASBAB ALLAH TAK AKAN UBAH HINGGA KIAMAT; iaitu asbab manusia dapat HIDAYAH dan beriman pada Allah hanyalah melalui perantaraan usaha dakwah yang dibuat oleh Nabi-Nabi dengan penuh pengorbanan, kesungguhan dan tawakal kepada Allah. Nabi-nabi telah jumpa manusia secara bersemuka walaupun pada zaman mereka juga ada teknologi canggih, ada kekayaan, ada kerajaan.

Walaupun ada Nabi-Nabi terdahulu dibunuh, dipukul, dicaci, dipulau, dikatakan GILA, dikata tak bertamadun, miskin dan sebagainya. Walaupun Nabi-Nabi terdahulu ada yang tiada pengikut, ada yang anak isteri sendiri menentang, ada yang pengikut 83 orang sahaja setelah buat dakwah 950 tahun siang dan malam (Nabi Noh). Namun kerja mengajak manusia kepada perintah-perintah Allah diteruskan hinggalah kepada Nabi kita iaitu Nabi Muhammad SAW.

DAN KERJA KENABIAN IAITU DAKWAH SUPAYA JADI ASBAB MANUSIA DAPAT HIDAYAH TELAH DIPINDAHKAN KEPADA UMAT YANG AKHIR
iaitu kepada saya, korang dan semua umat Islam hingga hari kiamat. Cara yang sama, kerja yang sama, pengorbanan yang sama perlu dibuat oleh umat ini supaya Allah beri hidayah kepada kita, keluarga dan seluruh umat manusia. Tiada jalan lain.

Mafhum firman Allah dlm surah Yusuf :108 :
Katakanlah (wahai Muhammad kpd umatmu): "Inilah sahaja jalanku (tiada jalan lain), menyeru manusia kepada Allah, dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. (itulah jalan) aku dan para pengikutku. Dan maha suci Allah, dan bukanlah aku dari golongan yang mensyirikkan Allah".


ps naqibah :
jangan pernah menilai orang sepintas lewat...
jangan pernah menghukumi sesuatu bila baru tahu sedikit tentangnya...
jangan pernah mengikuti prasangka yang nilai benar dan salahnya berimbang...
jangan...sesekali jangan...kerana kau akan menyesal bila tahu kau keliru...


"al-hukmu 'ala s-syai'i, far'un 'an tashawwurihi.."

Wallahua'lam.

No comments: